Penghantar makanan beri makan kucing jalanan
Sekumpulan penghantar makanan berpakat menjalankan khidmat murni memberi makanan kepada kucing terbiar di sekitar bandar ini.
Anak muda berkenaan membawa bekalan makanan kucing yang disumbangkan oleh orang ramai hasil perkongsian melalui laman Facebook untuk diberi kepada haiwan terbabit yang ditemui di lokasi sepanjang mereka menghantar makanan kepada pelanggan.
Seorang daripada mereka, Mohamad Saifullah Omar, 31, berkata program terbabit diadakan bermula setahun yang lalu dan kini disertai hampir 50 penghantar makanan yang menyertai aktiviti berkenaan secara sukarela di bawah Persatuan Pet Lover.
"Ia adalah sebagai h satu inisiatif bagi membantu kucing terbiar untuk diberi makan terutama sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kita sedia maklum menyebabkan haiwan ini sukar mendapat makanan.
"Kami fokus kepada agihan makanan di kawasan tumpuan kucing terbiar seperti di pasar basah. Malah, ada masanya kami berpakat secara berkumpulan untuk ke satu-satu destinasi bagi tujuan memberi makan kucing selepas selesai menjalankan tugas kami.
"Namun begitu, peluang yang diberikan digunakan sebaiknya termasuk mengehadkan penyertaan setiap kumpulan susulan PKP, selain menjaga prosedur operasi standard (SOP) seperti memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal," katanya ketika ditemui selepas memberi makan kepada kucing terbiar di sekitar pasar Kota Jembal, Kedai Lalat, di sini, malam tadi.
Mohammad Saifullah yang juga Pengerusi Persatuan Pet Lover, berkata jika mereka kehabisan stok bekalan makanan kucing yang diberikan oleh penyumbang, pihaknya akan berpakat mengeluarkan
sendiri modal untuk menjalankan aktiviti murni berkenaan.
"Sebenarnya, berkongsi rezeki dengan kucing ini bukanlah sesuatu yang sukar untuk dilakukan, malah setiap daripada kami memang memastikan stok makanan ada tersimpan di dalam raga motosikal supaya boleh terus diagihkan kepada haiwan ini.
"Kami biasanya berpakat untuk berhenti rehat atau makan di tempat yang dijanjikan, seperti di kawasan taman yang luas memandangkan PKP tiada kedai yang dibenarkan makan di premis. Jadi, sambil menyelam minum air, jika ada kucing terbiar kami agihkan sekali makanan kepadanya.
"Khidmat murni ini akan diteruskan daripada semasa ke semasa selain mengajak lebih ramai pencinta haiwan untuk turut sama menyumbang sama ada dalam bentuk kewangan mahupun bekalan makanan kucing bagi membantu haiwan terbabit," katanya.
